Thursday, 21 January 2010

dia kata

dia kata maaf,aku masih sayangkan kau, tapi aku juga sayangkan orang lain. maka aku pilih dia, tetapi sungguh, aku tidak boleh lupakan kau.

Matanya berair memandangku, digenggamnya stereng kereta erat-erat. aku alihkan pandangan pada cermin depan, lihat air hujan turun. aku ketap bibir. aku keluarkan patung dari bag sandang, beri padanya.

Ini Hermes, aku bilang. dia akan tunjukkan kau jalan.

dan dia tersenyum lebar, mengusap-usap bulu kepala patung.

aku keluar kereta dalam hujan lebat,aku tersenyum.

Saturday, 9 January 2010

lelaki hujan

Sewaktu hidungnya mengesan bau air dibawa desir angin, dan matanya terpukau langit gelap sarat awan, lelaki itu memutuskan untuk jadi hujan, dari langit turun, ke bumi jatuh, naik ke langit kembali dan turun lagi ke bumi. Kitarnya begitu, macam nyawa dan nafas, begitu hujan dan langit dan bumi.

Maka, di ranapkan tubuhnya. Tulangnya jadi dasar sungai laut empangan semuanya. Daging dan darah jadi titis-titis air, mengewap dan terkondensasi.

Mulai saat itu, semua orang bercakap tentang hujan.

rahmat dan bencana.

Tuesday, 5 January 2010

kalau kau cari itu, di sini bukan tempatnya

Atas sejadah kau berdoa bertangis darah
Depan salib kau melutut berlebam kaki
Hadap patung kau merayu buta mata
Itu bukan di situ

Teguk bir dan arak kencing
Badan betina lacur dan jantan biadap
Digit loteri atau dadu judi
Itu tidak pernah mukim

Titis hujan pancutan langit
Malam sesat bulan bintang jatuh
Siang cahaya gelap
Panas terkaman bola merah
Itu bukan di situ

Bukankah ifrit berjanji
sesatkan Adam
tanpa taubat

dan iman cuma batang rokok
nyala, padam, mati

Puisi Untuk Anjing Sesat

Puisi Untuk Anjing Sesat
*Poem for lost dogs By Charles Bukowski

Rasa bagus itu selalu datang waktu-waktu pelik: sekali, selepas
tidur
terjaga di atas kerusi taman di bandar asing, baju dibasahi dengan titis embun dan aku bangun dan mula berjalan ke timur
ke arah
wajah menghadap matahari naik dan dalam diri aku ada kegembiraan kecil wujud

masa yang lain selepas melanggan pelacur jalanan, kami berjalan bersama jam 2 a.m bawah rembulan beriringan
menuju ke bilik murah ku tapi aku tidak bernafsu untuk menidurinya.
gembira lembut datang daripada berjalan beriringan dalam masa kekeliruan
semesta- kami ialah teman, teman yang asing berjalan bersama
tanpa bicara.
Skarf ungu dan putih tergantung di beg tangannya- berkibar dalam gelap
semasa kami berjalan
dan musik boleh datang daripada cahaya bulan

Dan ada masanya juga
aku dihalau kerana tidak bayar sewa dan membawa
beg perempuanku ke pintu lelaki asing dan menyaksikan dia hilang
di dalam, berdiri di situ seketika, dengar tawanya pertama, kemudian tawa lelaki asing, dan aku berlalu.
Aku sedang berjalan, panas jam 10 a.m, tiba-tiba
matahari membutakan aku dan aku hanya sedar dengan bunyi
kasut aku di sisi jalan. Kemudian
AKu dengar suara. “hei kawan, ada duit lebih untuk diberikan?”
Aku lihat, dan bersandar pada dinding ialah 3 kutu pertengahan umur,
bermuka merah,
sesat dan dikalahkan dengan teruk. “berapa yang kamu perlukan untuk sebotol?” Aku tanya.
“24 Cents,” salah seorang mereka berkata. Aku seluk poket, ambil semua syiling dan berikan padanya. “ Bagus sekali kawan, Terima
Kasih!” dia berkata.
aku teruskan berjalan, dan rasakan perlu untuk rokok, raba poket
seluar, rasa kertas, keluarkan
dari poket: note 5 ringgit

masa lain bila bergaduh dengan penjaga bar, Tommy (sekali lagi), di
lorong belakang untuk hiburan pelanggan, Aku ambil
pertaruhan biasa
semua gadis dalam seluar pendek mereka , sedang menjerit untuk lelaki berotot
Lelaki sejati Irish (“oh, Tommy, tendang dia, tendang dia kuat-kuat!”)
apabila ada yang melintas dalam fikiran, fikiran aku berkata,
“masa untuk sesuatu yang lain,” dan aku menumbuk Tommy
keras di kepalanya dan dia memberikan pandangan: Tunggu, ini
tidak ada dalam skrip, dan aku labuhkan sepenumbuk lagi dan aku boleh lihat
ketakutan
menaik laju dalam dirinya seperti torrent, dan aku
belasah dia cukup-cukup dan pelanggan lain mengangkatnya ke dalam
sambil
memaki aku. Apa yang memberikan keseronokan
ialah ketawa senyap dalam diri kerana aku lakukannya
ada batas dalam kesabaran lelaki.
Aku berjalan ke bar asing di blok lain, duduk dan pesan
bir.
“kami tidak layan kutu di sini,” Penjaga bar itu beritahu aku. “aku bukan kutu,” aku
jawab, “bawakan aku bir itu.” bir
sampai, aku teguk semahunya dan aku di situ.

rasa bagus datang ketika masa-masa tidak terjangka, seperti masa sekarang saat aku bercerita kepada kamu semua.

Tuesday, 15 December 2009

malam ini rokok bercakap

mari ke sini.
sedut aku dalam-dalam
aku labuhkan rasa dalam jiwa
bersatu jadi nafas dan nadi

bukan apa
aku cuma mahu menolong
kau sudah terlalu penat
berdoa pada tuhan

amaran pakar-pakar kesihatan dan agama: rokok berbahaya kepada kesihatan

dewi sepi


Malam itu, Maria sepi. Malam makin memekat, dan dia cuba mencari riuh dalam manusia keliling. Dia cuba mencari cinta dalam pekat malam yang makin menusuk dinginnya. Bertahun lamanya dia mencari riuh dalam hiruk dan cinta dalam manusia.

Akhirnya dia makin bersatu dengan malam. Bersatu dengan sepi.

Tangannya sudah lama jadi hitam sepekat malam. Badannya sudah lama jadi dingin malam. Matanya sudah lama jadi bintang, wajahnya sudah lama jadi bulan.

Dan pari-pari muncul berkata

“Ikut aku Maria. Kau dewi sepi. Tanpa kau, malam tidak bernafas”

Maria ikut pari-pari kecil itu dan hilang dalam pekat malam.

Kalau kau lihat teliti langit malam hari. Kau akan nampak Maria menangis sendiri yang jadi hujan waktu malam. Atau hari yang baik, kau akan lihat Maria menyanyi gembira yang jadi hiruk pekik malam.

Thursday, 19 November 2009

malam ini buat aku melankolik

semuanya aku sudah ucapkan. ingati semua. kata indah dan metafora ajaib. kerana sepi dan dingin malam ini, buat aku rasa celaka. jelajahi urat darah, masuk ke tulang temulang jadi daging dan keluar sebagai nafas.tersekat dalam gelap tengik dan kohong. aku ini lelaki dayus! sebab beri hati pada kau. tanpa sedikit pun menentang.cinta dan rindu, cuma komoditi. bukan hal rasa.aku toreh lengan. biar darah menitis.aku gantung diri. biar nafas terhenti. aku lapah kulit daging. biar tiada apa tinggal.

kenapa kau masih ada dalam diri?